Ujian Fungsi Hati

Pada tubuh manusia, hati adalah organ tubuh yang sangat penting untuk kelangsungan hidup. Ia terletak pada bahagian kanan di atas rongga perut (otot diafragma) dan mempunyai berat sekitar 2 kg atau 3-5% daripada jumlah berat tubuh kita.
Hati yang kecil ini amat bermakna dalam hidup kita. Ia memainkan peranan penting dalam melaksanakan perkara berikut;
#1 Meneutralkan toksik tubuh
Sebelum bahan toksik sampai ke ginjal, ia akan sampai ke hati terlebih dahulu untuk dineutralkan sebelum disingkirkan melalui air kencing. Ubatan secara umumnya adalah untuk menyembuhkan penyakit tetapi ianya juga merbahaya kepada sistem tubuh. Justeru, ia perlu dineutralkan sebelum disingkirkan melalui air kencing.
#2 Regenerasi Sel darah merah
Sel-sel darah merah yang mengandungi hemoglobin yang telah tua dan hampir tamat jangka hayat akan diuraikan kepada zat besi, heam dan globin. Zat besi akan dikembalikan kepada sum-sum tulang untuk pembentukan sel-darah merah dan globin akan digunakan semula bagi pembentukan hemoglobin. Heam akan diuraikan kepada bilirubin dan disalurkan ke usus yang menyebabkan warna najis yang unik. Apabila berlaku gangguan pada salur hempedu, bilirubin tidak dapat disalurkan ke usus menyebabkan bilirubin ini beredar dalam edaran darah sehingga mengakibatkan warna kekuningan kelihatan pada tubuh. Gejala ini dikenali sebagai penyakit jaundis.
#3 Produksi cecair hempedu
Cecair hempedu yang dihasilkan oleh hati membantu dalam sistem pencernaan lemak. Lemak akan ditukarkan kepada asid lemak dan gliserol dengan bantuan cecair hempedu dan seterusnya diserap dalam sistem tubuh.
Produksi protein dan sistem imun
Protein tubuh yang dihasilkan oleh hati amat penting dalam menentukan sistem ketahanan tubuh dalam melawan serangan mikroorganisma yang menyebabkan penyakit.
#4 Tempat penyimpanan simpanan glukosa
Glikogen adalah merupakan simpanan karbohidrat tubuh. Dalam keadaan kekurangan glukosa, hati akan menukarkan glikogen kepada glukosa dan seterusnya di metabolismekan bagi pembentukan tenaga.
Kegagalan organ ini berfungsi boleh membawa kepada menyebabkan masalah kesihatan yang tiada ubatnya. Jika kegagalan fungsi ginjal boleh diganti dengan dialisis. Namun kegagalan fungsi hati tiada instrumen yang dapat mengambil alih tanggungjawabnya.
Ujian makmal boleh dilakukan terhadap darah bagi menentukan status fungsi hati kita. Antara ujian makmal yang dilakukan adalah ujian penentuan paras analit berikut :
  • Protein, albumin dan globulin
  • Bilirubin
  • Enzim Alkaline Phosphatase (ALP)
  • Enzim Alanine Transaminase (ALT)
  • Enzim Aspartate Transaminase (AST)
  • Gamma-glutamyl transpeptidase (GGT)
    Contoh darah bagi ujian fungsi hati
    Pengambilan darah untuk ujian fungsi hati
Menjadi satu amalan, apabila doktor ingin memulakan sesuatu rawatan ubatan, pesakit akan menjalankan ujian fungsi hati. Ujian ini amat penting bagi mengetahui status hati kita. Selepas pengambilan ubatan beberapa bulan, ujian fungsi hati akan dijalankan semula untuk mengetahui samada ubatan yang diberi boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati ataupun tidak.
Justeru itu, kita disarankan untuk menjalankan ujian fungsi hati apabila kita mengamalkan pengambilan sebarang ubatan seperti ubatan tradisional, produk pelangsingan tubuh dan makanan tambahan seperti vitamin dan mineral.
Apa jua ubatan atau makanan tambahan yang dianggap toksik oleh tubuh akan di neutralkan oleh hati. Beban kerja yang berlebihan terhadap hati boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati.
sumber: http://www.myhealth.gov.my/index.php/my/dewasa/ujian-makmal-biokimia/ujian-fungsi-hati

Comments